Pencabulan Penyu?

Saya sebenarnya tidak mahu mengulas tentang gambar-gambar serta video sekumpulan pelancong bermain dengan penyu di Pulau Perhentian kerana telah ramai orang membuat ulasan mengenainya. Satu topik perbualan hangat dikalangan pencinta alam sekitar dan kumpulan ‘divers’. Namun, atas permintaan pengunjung cikguselam.com, saya memberikan sedikit ulasan mengenainya.

Tok guru saya pernah berkata. Apabila membuat rumusan, kita kena fikirkan dari 3 segi, iaitu, Hukum Adat, Hukum Akal dan Hukum Syarak. Dalam konteks ni saya gantikan Hukum Syarak dengan Hukum Dunia.

Hukum Dunia

Perbuatan ini jelas melanggar Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang menyatakan

27. (1) Tiada seorang pun boleh memancing, mengganggu, mengusik, menangkap atau mengambil apa-apa mamalia akuatik atau penyu yang dijumpai di luar bidang kuasa mana-mana Negeri di Malaysia.
(2) Peruntukan-peruntukan undang-undang Negeri yang relevan hendaklah terpakai berkenaan dengan mamalia akuatik dan penyu yang dijumpai dalam bidang kuasa itu.
(3) Jika mana-mana mamalia akuatik atau penyu yang dijumpai di luar bidang kuasa itu ditangkap atau diambil dengan tidak sengaja semasa menangkap ikan, mamalia akuatik atau penyu itu hendaklah, jika masih hidup, dilepaskan segera atau, jika ia mati, penangkapan atau pengambilannya itu hendaklah dilaporkan kepada pegawai perikanan dan mamalia akuatik atau penyu hendaklah dilupuskan mengikut arahannya.
(4) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) atau subseksyen (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.
Jadi….jelas hukum dunia kata SALAH

Hukum Akal

Meletakkan diri kita di tempat haiwan tersebut, membantu kita membuat rumusan mengikut Hukum Akal. Kalau anda dipegang, digomol…lebih kurang macam dicabul, apa perasaan anda? Maka begitu juga dengan si penyu. Bukan manusia sahaja yang stress. Saya rasa penyu lagi stress sebab nak jumpa lagi seekor penyu pun dah susah. Nak cari pasangan mengawan susah. Lepas mengawan nak cari tempat bertelur pun lagi susah kerana sepanjang pantai tempat bertelur dah dibina resort yang bising dan terang benderang.

Apabila di darat, memang cara kita menunjukkan kasih sayang kita kepada haiwan adalah dengan membelainya…contohnya kucing. Tetapi di air, perkara ini tidak digalakkan kerana tindakan memegang itu sendiri boleh memudaratkan kesihatan haiwan marin. Mungkin itulah yang disalah tafsirkan oleh pemandu pelancung dan juga para pelancung.

Jadi…jelas mengikut hukum akal kata, perbuatan membelai @ mencabul penyu itu adalah SALAH.

Hukum Adat

Secara adat, memang orang suka dengan penyu kerana mimik mukanya yang sangat ‘friendly’ dan ‘cute’, dengan matanya yang besar melihat kita dengan renungan yang menusuk kalbu. Pada orang pulau, aktiviti memegang hidupan laut ini adalah perkara biasa. Maka, saya tidak salahkan si pemandu pelancung tu. Mungkin pada dia itu ‘biasa’.

Namun, pengusaha syarikat harus mempunyai polisi mengenai alam sekitar dan polisi ini harus difahami oleh semua kakitangan. Tetapi kadangkala polisi ini tenggelam olehkerana tekanan perniagaan. Sekitar tahun 1997, pada umumnya, sesiapa yang hendak menyelam di Pulau Sipadan hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya ‘Advance Open Water’ dan tidak dibenarkan memakai sarung tangan. Mungkin anda tertanya kenapa tidak boleh pakai sarung tangan? Hahaha…soalan sama yang saya terfikir ketika itu. Penjelasannya adalah supaya penyelam tidak memegang coral. Dahulu, divemaster mempunyai kuasa untuk ‘ban’ anda daripada menyelam sekiranya anda mengganggu atau merosakkan coral. Sekarang ini, hampir sesiapa saja boleh menyelam di sana dan berbuat sesuka hati.

Sesiapa yang nak memulakan perniagaan yang berkaitan dengan flora dan fauna, pertama sekali harus membuat sedaya mungkin untuk tidak memusnahkannya. Mereka lah yang sepatutnya menjadi pejuang alam sekitar, kerana tanpanya perniagaan mereka akan terjejas. Angkat tangan berapa ramai golongan penyelam, termasuk golongan profesional yang membuat pertunjukan memasukkan Clown Fish ke dalam mask mereka? Malu-malu pulak nak angkat tangan…

Jadi…nampaknya hukum adat juga kata SALAH.

Penyu aje? Benda lain ok ke?

Satu perkara yang saya pelik adalah…berapa ramai orang yang membawa joran untuk ke pulau-pulau di bawah taman laut? Tidak percaya? Cuba pergi lihat sendiri di Jeti Mersing atau mana-mana jeti lain. Tidak kah itu melanggar Seksyen 43, di bawah akta yang sama?

43.(1) Mana-mana orang dalam mana-mana taman laut atau rizab laut di perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah secara bertulis-
(a) menangkap atau cuba menangkap ikan;
(b) mengambil, mengalih atau memiliki mana-mana haiwan akuatik atau tumbuhan akuatik atau sebahagian daripadanya, sama ada yang hidup atau mati;
(c) memungut atau memiliki mana-mana karang, kapal korek atau cabutan mana-mana pasir atau batu kelikir, luahan atau apa pencemar, mengubah atau memusnahkan tempat pembiakan semulajadi atau habitat hidupan akuatik, atau memusnahkan mana-mana hidupan akuatik;
(d) membina atau mendirikan apa-apa bangunan atau struktur lain pada atau atas mana-mana tanah atau perairan dalam taman laut atau marin rizab;
(e) mensauhkan mana-mana vesel dengan menjatuhkan apa-apa jenis berat pada, atau dengan melampirkan apa-apa jenis tali atau rantai, karang mana-mana, batu atau objek lain yang tenggelam;
(f) memusnahkan, merosakkan atau memindahkan apa-apa objek, sama ada bernyawa atau tidak bernyawa, dalam taman laut atau rizab laut, adalah melakukan suatu kesalahan.

Apakah tindakan pegawai penguatkuasa di jeti-jeti? Adakah hanya mengutip levi taman laut RM5 sedangkan nyata orang itu membawa joran? Anda masih tidak percaya? Cuba pergi ke jeti-jeti di pulau-pulau. Saya pernah membawa pelatih dan hampir disambar oleh mata pancing oleh pemancing di atas jeti di Pulau Tioman. Perkara ini bukan baru…

Ada lagi???

Satu lagi aktiviti yang merosakkan adalah dengan tercipta kamera digital serta ‘housing’ yang murah dan mampu milik. Sekarang ni, ramai yang memilikki kamera dan ‘housing’. Ada yang baru nak ambil lesen menyelam Open Water dah ada kamera. Berapa banyak kerosakan disebabkan oleh jurugambar yang tidak terlatih? Berapa ramai daripada anda yang pernah berbuat begitu? Berapa ramai dikalangan anda yang menegur rakan-rakan sekiranya terlihat insiden ini berlaku? Bukankah itu juga melanggar Seksyen 43 (f)?

Mengambil gambar di dalam air memerlukan skil yang berbeza. Yang utama adalah kawalan apungan atau “Buoyancy Control” yang baik. Kalau menyelam macam orang mabuk minum todi, apatah lagi nak pegang kamera. Habis semua dilanggarnya. Cuba angkat tangan, sekiranya anda penyelam, berapa ramai yang mengikuti kursus  ‘Underwater Photography’ sebelum anda membawa turun kamera ke dasar laut? Setidak-tidaknya kursus ‘Peak Performance Buoyancy’? Hmmm macam tak ramai je

Apa sebenarnya ni…

Perbuatan mencabuli penyu itu ternyata salah. Maka tidak perlu saya nyatakan kenapa ianya salah kerana ‘yang terang lagi disuluh’.

Apa yang saya ingin katakan adalah:

1)  alangkah baik sekiranya mereka-mereka yang bersuara di laman-laman sosial ini mempraktikkan apa yang mereka gahkan sebagai ‘pencinta alam’ dengan mempraktikkannya bermula dengan diri sendiri dan secara ‘total’ @ menyeluruh. Ni bila pi menyelam di pulau-pulau, tapi bawa jugak joran untuk mengail. Ambik gambar ‘underwater’ tapi meninggalkan “a trail of destruction”. Bak kata orang puteh…”Practice what you preach”. Bak kata mendiang MJ…. dengar lirik lagu “Man in the mirror”.

2)  penguatkuasaan bagi melindungi taman laut kita harus bermula daripada jeti lagi. Mana yang bawa joran ke pulau-pulau Taman Laut harus disekat. Yang ditangkap memancing di taman laut dikenakan saman.

3)  penguatkuasaan bukanlah jalan utama. Pendedahan dan pendidikan adalah jalan terbaik. Contoh mudah yang boleh diambil….dalam feri ke pulau, selain daripada video keselamatan Jabatan Laut tu, eloklah ditayangkan video tentang laut, hidupan marin, pantang larang dan lebih penting, mengapa ianya menjadi pantang larang. Orang nak pergi bercuti tidak mahu dihidangkan dengan tayangan DVD cetak rompak.

4)  akta-akta lama ni harus diperbaharui oleh pihak berwajib. Kalau dulu masa akta dikeluarkan RM5,000 mungkin besar nilainya. Kalau zaman sekarang, mungkin tidak memberi apa-apa impak yang mencegah perbuatan tersebut.

5)  syarat-syarat pengeluaran lesen syarikat pelancungan harus memasukkan syarat penggunaan pemandu pelancung yang berlesen untuk aktiviti tersebut. Macam kursus pemandu teksi untuk mendapatkan PSV. Tapi kerajaan janganlah caj mahal-mahal ye…

Wahhh.. dah panjang sangat saya membebel ni. Untuk menyelamatkan alam sekitar memerlukan sumbangan dan usaha semua pihak….dan ianya seharusnya bermula dengan diri kita sendiri.

FacebookTwitterGoogle+Blogger PostGoogle BookmarksEmailShare

Leave a Reply

Your email address will not be published.