Mengapa saya tidak blog … Bahagian 1

Saya meminta maaf kepada pembaca blog cikguselam kerana setelah sekian lama saya tidak ‘update’. Begitu juga banyak ‘comment’ pengunjung yang tidak berjawab. Sebenarnya, ayah saya yang mengidap penyakit barah telah beberapa kali keluar masuk hospital dan akhirnya kembali ke rahmatullah pada 31 Mac 2013 yang lepas.

Perjalanan beliau daripada mula dikesan mengidap barah usus pada bulan Februari 2011 adalah satu perjalanan yang penuh dengan ‘trial and error’. Pada Februari 2011, di suatu hari, saya menerima panggilan daripada kakak saya mengatakan ayah saya mengalami sakit perut yang serius. Ayah saya adalah orang yang paling sabar, dan mempunyai toleransi yang tinggi terhadap rasa sakit ataupun orang yang banyak kerenah. Oleh itu, apabila dia mengerang kesakitan, ia bermakna bahawa ia adalah tahap kesakitan di atas paras normal. Menggunakan sedikit ilmu perubatan yang saya pelajari sebagai seorang penyelamat, kesakitan beliau reda apabila dia akhirnya pergi ke tandas. Ayah saya enggan pergi ke hospital, dan oleh kerana tahap kesakitan beliau telah reda kira-kira 90%, saya membuat keputusan ketika itu untuk berbincang dengan beliau kemudian.

colonoscopy

Sebab utama mengapa ayah saya enggan pergi ke hospital adalah lebih disebabkan parut emosi trauma kematian adik bongsu saya. Adik bongsu saya lahir kira-kira 7 tahun kemudian daripada adik-beradik yang lain. Beliau menghabiskan seluruh bulan Ramadhan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) dengan penyakit yang membuntukan para doktor. Oleh itu, beliau melalui ujian demi ujian, termasuk pemberian ubat-ubatan secara ‘trial and error’. Setiap hari tanpa gagal, ibu bapa saya akan melawat beliau, dan setiap hari mereka membawa salinan pakaiannya, dengan harapan doktor akan berkata “anak anda telah sihat dan dibenarkan pulang”.

Pada masa itu, keadaan di hospital-hospital kerajaan agak buruk. Kemudahan adalah terhad, pesakit ramai dan kakitangan perubatan bekerja lebih kerana kekurangan kakitangan. Semua ini mengakibatkan jururawat yang bermulut laser, dan sepanjang tempoh adik saya di wad, telah mempamerkan sikap tidak profesional ini kepada arwah adik dan ibu bapa saya. Ayah saya telah berdoa untuk arwah adik dapat pulang berhari raya, dan dimakbulkan…doktor membenarkan beliau pulang beberapa hari sebelum Raya. Ibu bapa saya sungguh gembira.

Walau bagaimanapun, pada hari kedua Hari Raya,  beliau jatuh sakit dan terpaksa dibawa kembali ke HKL. Untuk memendekkan cerita, itulah Hari Raya terakhir kami bersamanya. Tuhan telah menjawab doa ayah saya, tetapi ajalnya telah tersurat. Kami tidak bersedia untuk menghadapi kematian secara tiba-tiba itu. Semua orang terkejut, bersedih dan saya sebagai anak sulung, terpaksa menelan emosi dan menguruskan pengebumian beliau. Beliau meninggal dunia pada usia 15 tahun. Semenjak itu, ibu bapa saya telah mengelak daripada pergi ke hospital, terutama HKL.

Blog_bapa wad ampg2

2 minggu kemudian, saya mempunyai peluang untuk berbincang dengan ayah saya. Akhirnya dia bersetuju untuk membuat pemeriksaan di Hospital Ampang. Dengan bantuan dari sahabat saya, temujanji telah diatur dalam masa beberapa hari sahaja. Seperti yang dijangkakan, beliau telah dimasukkan terus ke wad dan beberapa siri ujian telah dijalankan ke atas beliau. Semasa ujian kolonoskopi, seorang pakar bedah tiba-tiba dipanggil masuk. “Ini petanda tidak baik” saya berfikir kepada diri saya sendiri. Kemudian doktor memanggil saya masuk. Terpapar di skrin, mereka mendapati ketumbuhan yang hampir menutupi saluran kolon beliau. Satu prosedur pembedahan segera adalah satu-satunya pilihan.

 

bersambung…

FacebookTwitterGoogle+Blogger PostGoogle BookmarksEmailShare

Leave a Reply

Your email address will not be published.