Kenangan di Pulau Jarak

Lokasi Pulau Jarak dan Pulau Sembilan

 Ramai yang tertanya di manakah letaknya Pulau Jarak, dan berapa jauhkah daripada Pulau Sembilan, lokasi asal Arwah Mohd Nasir Mokhtar mula hilang? Pulau Jarak ini terletak agak jauh daripada tanah besar Semenanjung. Kalau orang Malaysia, yang sampai di situ adalah penyelam dan pemancing tegar, atau pihak berkuasa seperti Pasukan Gerakan Marin PDRM, Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) ataupun mereka-mereka daripada pasukan elit. Kalau orang asing…..jawapannya tekong-tekong dari seberang…kerana lokasinya yang agak dekat dengan perairan antarabangsa.

Walaubagaimanapun, kalau menyelam di sini, kebiasaannya secara liveaboard (atau singkatannya LOB). LOB bermaksud bot atau kapal yang telah diubahsuai….ada bilik tidur berhawa dingin, ada shower, ada ruang makan, ada dek peralatan menyelam dan….bilik tv/karaoke. Kalau naik LOB ni, rasa macam orang kaya sekejap. Namun ada keburukkan menyelam secara LOB ni, khususnya pada mereka yang tidak tahan mabuk laut….dapat mabuk free, tak payah bayar hahaha.

Memerang Laut (Gambar hiasan)

Saya tidak dapat melupakan Pulau Jarak kerana 2 sebab utama yang pernah saya alami. Pertama, di situ lah saya menyelam dengan memerang laut. Pada ketika itu, memerang tu sedang sibuk menyelam mencari makanan di dasar. Apabila dia ternampak saya, dua-dua terkejut…saya dan memerang tu. Sumpah saya dapat lihat bahu dia seakan-akan melonjak dan ternaik, macam selalu orang yang terkejut. Lepas tu kami berenungan mata, dan masing-masing berenang ke arah bertentangan. Ketawa saya dalam air, geli hati.

Ikan Layaran (Gambar hiasan)

Yang kedua tidak berapa gembira. Pada ketika itu, kapten bot telah melontarkan jorannya di belakang bot ketika bot sedang bergerak. Aktiviti menyelam pun dah habis untuk hari itu. Tiba-tiba bunyi loceng jorannya disambar ikan. Rupanya ikan Layaran atau Sailfish. Setelah berhempas pulas ‘berlawan’ dengan ikan, akhirnya ikan tu pun lemah dan ditarik hampir dengan bot. Ketika itu bot sudah diikat ke tali buoy. Secara tidak sengaja, ikan tersebut telah terbelit ke tali buoy bersama dengan tali pancing. Maka apa lagi, kena la menyelam untuk lepaskan ikan tu.

Saya pun turun bersama seorang lagi…Mr D. Apabila saya menghampiri ikan tu, memang agak besar. Dalam hati saya, kalau saya lepas kan ikan ni, mau dia pusing dan tikam saya balik dengan muncung nya yang tajam tu. Tiba-tiba saya dah tidak nampak ikan tu kerana darah meliputi pemandangan saya. Rupanya semasa saya asyik mengelamun, cuba untuk ‘berkomunikasi’ dengan ikan tu, Mr D telah naik ke permukaan dan membawa turun besi cangkuk lalu ditikamnya ikan . Ini adalah kerana ikan tu sudah terjerut agak kuat dan terlalu lemah. Saya terkejut… rasa marah pun ada.

Semasa kami naik ke atas bot, ada sebuah bot nelayan yang membawa sekumpulan pemancing berada agak hampir dengan bot kami. Semasa itu, tali telah terbelit dengan kipas bot. Maka si juragan pun telah terjun untuk memotong tali. Ketika itulah tiba-tiba juragan yang berbadan besar tu telah terkena serangan jantung. Maka mereka telah memanggil kepada bot kami meminta bantuan. Nasib baik ada penyelam grup saya tu seorang doktor. Beliau terus ke bot tersebut bersama tangki oksigen.

Berbalik kepada cerita ikan tadi, maka ikan tu pun dibawa naik ke atas bot….masih hidup, tapi memang nyawa-nyawa ikan. Di masa yang sama, saya menoleh ke bot nelayan tu, si juragan juga sedang nazak. Apabila ikan tersebut akhirnya mati, saya sekali lagi menoleh…juragan tu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mistik? Adakah nyawa dibalas dengan nyawa juga?

Yang saya paling tak percaya, semasa Si juragan sedang bertarung nyawa, ada juga seorang dua kaki pancing tu terus dengan selambanya memancing berhampiran Si juragan tadi. Nasib baik saya berada di atas bot LOB tu, dan mana ada batu atas Bot. Kalau tidak, dah tentu saya rejam itu orang sama itu batu. Tak reti adap betul.

FacebookTwitterGoogle+Blogger PostGoogle BookmarksEmailShare

3 comments on “Kenangan di Pulau Jarak

Leave a Reply

Your email address will not be published.