2 Penyelam Lemas di Bali Dalam Masa 3 Hari

Seorang lelaki Denmark berusia 44 tahun telah lemas semasa menyelam di pantai Crystal Bay, berhampiran Nusa Penida di pulau Bali pada hari Selasa. Ini merupakan kematian penyelam yang kedua dalam tempoh 3 hari.

Penyelam tersebut, Henrik Ent Jensen, dilaporkan menaiki bot laju pada pukul 7.30 pagi pada hari Selasa untuk menyelam di Crystal Bay. Mayat beliau ditemui terapung pada pukul 10 pagi. Belum dapat dipastikan samada beliau menyelam secara berkumpulan atau bersendirian.

Ketua Polis Klungkung, Bali, Adj. Comr. Nyoman Suparta berkata bahawa mangsa telah dihantar ke Puskesmas yang berdekatan, iaitu sebuah pusat kesihatan komuniti. Mayat mangsa kemudiannya telah dipindahkan ke Hospital Sanglah di Denpasar untuk dibedah siasat.

Jensen dilaporkan memiliki Villa Celagi Pisang di pulau Nusa Lembongan.

Pada hari Ahad lepas, seoang pelancong dari Jepun , Ai Tanaka, 34, meninggal dunia ketika menyelam di lokasi yang sama. Mayatnya ditemui 43 meter di bawah air.

Suparta berkata mayat Tanaka juga telah dihantar ke Hospital Sanglah untuk dibedah siasat.

Siasatan awal menunjukkan bahawa Tanaka mungkin menghadapi masaalah disebabkan oleh arus air kuat yang mengheret beliau ketika menyelam. Walaubagaimanapun, pihak berkuasa masih menyiasat termasuk kemungkinan berlaku kecuaian di pihak penganjur.

Pihak berkuasa telah mencadangkan penganjur aktiviti menyelam supaya tidak membawa pelanggan mereka ke Crystal Bay buat masa ini.

FacebookTwitterGoogle+Blogger PostGoogle BookmarksEmailShare

Leave a Reply

Your email address will not be published.